Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, mahu memastikan pasukannya menempah slot ke separuh akhir dalam aksi timbal balik bertemu PKNP, esok.

Felda mempunyai bekalan tipis satu gol apabila akan sekali lagi berentap dengan PKNP di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Namun, ia masih belum cukup selamat untuk menjamin slot ke separuh akhir berdasarkan rekod PKNP yang pernah mencipta kejutan menewaskan mereka 3-1 dalam saingan Piala Malaysia musim lalu.

Justeru, Sathianathan mahu barisan anak buahnya menggandakan usaha menambah jaringan dan tidak sesekali memandang mudah kemampuan lawan.

"Jika lawan menjaringkan satu gol, kedudukan sudah seri dan walaupun kami hanya perlu seri tetapi ia agak bahaya untuk beraksi sambil menyasarkan keputusan sebegitu.

"Tahun lepas, mereka menewaskan kami di Jengka dan tentu perkara sama boleh diulangi," ujarnya.

Sementara itu, Sathianathan terpaksa merencana strategi berlainan kerana tiga tonggak pasukannya yang terdiri daripada kapten, Shukor Adan, pemain pertahanan, Thiago Aquino, dan pemain tengah, Stewart Wark, mengalami kecederaan.

"Mereka memang bahaya, sebab itu saya katakan kami tidak boleh ambil mudah tetapi saya juga yakin pemain-pemain saya mampu mencatat kemenangan," katanya lagi.