"Kerapuhan benteng Kelantan bonus buat PKNS", itu yang boleh disimpulkan jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, mengenai kecemerlangan anak buahnya mencipta peluang untuk menang 4-1 ke atas Kelantan malam tadi, sekali gus mara ke suku akhir Piala FA.

Aksi PKNS mencuri perhatian selepas selesa dengan dua jaringan terlebih dahulu pada separuh masa pertama untuk mengukuhkan lagi peluang mereka ke suku akhir.

Ternyata, anak buah Rajagobal berhasil memanfaatkan setiap peluang terhidang di hadapan gawang untuk berterusan memberi tekanan kepada Kelantan yang ketinggalan 4-0 hingga minit-minit terakhir perlawanan.

Baginya, aksi setiap pemain tidak mengecewakan, khususnya di bahagian serangan yang cukup tajam, untuk Mahali Jasuli, Safee Sali dan Rafael Ramazotti memberi penyudah terbaik kepada pasukan.

"Pemain-pemain telah memberikan yang terbaik, mereka mempamerkan persembahan yang cemerlang dari awal permainan hingga wisel penamat," kata Rajagobal.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk bekas pengendali skuad Harimau Malaya ini membiarkan anak buahnya dibuai kemenangan terlalu lama kerana aksi yang lebih sukar menanti mereka.

"Buat masa ini, kami tidak meletakkan sebarang sasaran yang terlalu tinggi. Saya sentiasa menasihatkan kepada pemain-pemain bahawa peningkatan dalam perlawanan demi perlawanan harus dipamerkan," katanya.