Meskipun bolos dua gol awal dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya menyamakan kedudukan agregat, namun ia tidak menyekat Pahang untuk bangkit di hujung permainan sebelum mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA, malam ini.

Pahang turun beraksi di Larkin berbekalkan kemenangan 3-1 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Darulmakmur, 1 April lalu.

Bagaimanapun, JDT yang turun dengan misi memburu gol awal, hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Gonzalo Cabrera.

Kerisauan disuarakan pertahanan Pahang, Afif Amiruddin, menjelang aksi malam ini menjadi realiti apabila gol tersebut membuka jalan kepada kebangkitan JDT untuk memburu gol kedua.

Hasilnya, bekas penyerang PKNS FC, Gabriel Guerra, berjaya menyumbat gol yang dicari pada minit ke-22, sekaligus menyamakan kedudukan agregat 3-3.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-80 dengan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan, JDT dilihat bakal menempah tiket ke separuh akhir menerusi gol di tempat lawan.

Bagaimanapun, malang buat JDT apabila Pahang berjaya mencuri satu gol pada minit ke-86 menerusi Mohamadou Sumareh untuk membawa skuad kendalian Dollah Salleh ke peringkat separuh akhir.

Walaupun tewas, pujian harus dilontarkan kepada anak buah Benjamin Mora kerana tidak membiarkan kekecewaan aksi pertama mengekang harapan mereka untuk cuba bangkit di Larkin.

Pahang menyertai Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan ke separuh akhir.