Tonggak tengah Pahang, Issey Nakajima, bertekad mahu mara ke final Piala FA dalam musim pertamanya bersama Pahang.

Pemain antarabangsa Kanada itu hanya menyertai skuad Tok Gajah ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia lalu.

Namun, Nakajima tampak berupaya membentuk keserasian baik bersama rakan sepasukan di Pahang dan kini tekad beraksi dalam final Piala FA dengan Tok Gajah.

Dia mengakui setiap pemain Pahang sudah bersedia menyerlahkan aksi terbaik berdepan PKNP dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Ipoh, malam ini.

"Kami memulakan perlawanan dengan banyak kecederaan. (Tetapi) pasukan saya berada dalam keadaan baik dan mereka kelihatan hebat dalam latihan," katanya.

Bekas pemain Liga A Australia dan Liga Bolasepak Utama Amerika Syarikat (MLS) itu juga berasa masalah kecergasan beberapa tonggak utama tidak akan melemahkan semangat pasukan.

Bagi Nakajima, sesiapa saja yang diturunkan sedia memberikan aksi terbaik menangani PKNP.

"Semuanya mengenai perlawanan ini. Segala-galanya musim ini untuk perlawanan esok (malam ini). Jadi, kami tidak sabar untuk perlawanan ini. Kita akan lihat apa yang berlaku nanti," katanya lagi.

Dalam separuh akhir pertama pada 23 Julai lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1.