Jurulatih Kedah, Ramon Marcote, kurang berpuas hati dengan kekalahan 1-0 kepada Pahang serta menyifatkan corak permainan mereka jauh lebih baik berbanding lawan.

Biarpun mengakui tidak banyak peluang mampu dicipta pemain-pemainnya, beliau menyifatkan tidak adil buat Kedah yang tewas dalam tempoh 90 minit masa permainan.

Berdasarkan statistik perlawanan, Kedah telah menghasilkan 10 percubaan berbanding Pahang yang hanya melakukan empat percubaan.

"Saya kecewa kerana kehadiran penyokong yang berharap kami mempertahankan Piala FA in, tetapi inilah bola sepak," kata Marcote.

Kedah dikecewakan dengan gol tunggal Pahang yang dihasilkan oleh Mohamadou Sumareh pada penghujung separuh masa pertama, sekali gus menamatkan cabaran mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu itu.