Hatrik Safawi Rasid membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke suku akhir Piala FA tetapi barisan pertahanan yang gagal mengekang UiTM daripada menjaringkan gol mengundang rasa tidak senang jurulatih sementara, Raul Longhi.

Safawi membuka tirai jaringan pada minit ke-12 bagi memastikan JDT mengawal rentak perlawanan di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.

Meskipun aksi seimbang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan, tuah lebih memihak JDT, buktinya jaringan kedua yang dihasilkan Safawi pada minit ke-41.

Tetapi kealpaan benteng Harimau Selatan membenarkan UiTM merapatkan jurang menerusi jaringan Lucas Ramon sejurus sebelum tamat babak pertama, mengundang kemarahan Longhi.

Bagaimanapun, Safawi membuktikan diri sebagai antara penggempur meningkat naik Malaysia apabila menyempurnakan hatrik menerusi rembatan voli pada minit ke-72.

Walaupun ketinggalan, UiTM tidak berputus asa dengan terus memberikan tekanan kepada JDT dan hasilnya jaringan kedua UiTM diledak oleh Faiz Mohd Bandong pada minit ke-89 mencerminkan kerja keras mereka.

"Saya sangat gembira menyumbangkan tiga gol buat JDT untuk meraih kemenangan ini," kata Safawi.

"Tetapi saya masih lagi belum berpuas hati dengan persembahan saya dan berharap untuk memperbaiki setiap kelemahan yang dimiliki."

"Gembira dengan kemenangan ini, tetapi saya tidak berpuas hati dengan pertahanan apabila bolos pada penghujung separuh masa pertama dan kedua. Kemenangan yang dibezakan dengan satu jaringan sangat bahaya dan kami perlu mengatasi situasi ini," kata Longhi.