SELANGOR 0 KUALA LUMPUR 3
(Agregat 3-3, Selangor menang sepakan penalti 8-7)

Selangor mara ke separuh akhir Piala FA apabila penjaga gol, Khairul Azhan Khalid, bertindak selaku wira dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.


Meraih kemenangan 3-0 dalam aksi pertama, Selangor kelihatan sudah selangkah ke separuh akhir tetapi Kuala Lumpur enggan mengibarkan bendera putih dalam usaha menterbalikkan keputusan perlawanan.

Kuala Lumpur membuka jaringan seawal minit ke-15 apabila Zaquan Adha Abd Radzak bijak mencari ruang menewaskan Khairul Azhan.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Paulo Josue meledak gol kedua, sekali gus menghidupkan peluang Kuala Lumpur untuk bangkit.

Kebangkitan Kuala Lumpur untuk menyamakan kedudukan secara agregat berjaya apabila Syazwan Andik menjaringkan gol ketiga pada minit ke-54.

Kedua-dua pasukan mengasak bagi mencari gol kemenangan hingga selesai masa tambahan dan seterusnya ke penentuan sepakan penalti.

Selepas dibolosi tiga kali dalam waktu permainan sebenar, Khairul Azhan bertindak sebagai wira Selangor untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir apabila menafikan dua sepakan penalti Kuala Lumpur untuk memberikan kemenangan 8-7.

Dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh, Perak tersingkir daripada saingan Piala FA apabila seri 2-2 dengan PKNS FC dan tewas 3-4 secara agregat.

Selepas meraih kemenangan 2-1 dalam aksi pertama, skuad kendalian K. Rajagobal itu terus mempamerkan aksi cemerlang apabila Rodney Celvin dan K. Gurusamy meledak dua gol dalam tempoh sembilan minit dalam babak kedua perlawanan, sekali gus mendahului perlawanan 4-1 secara agregat.

Nasir Basharudin menyamakan kedudukan apabila menjaringkan dua gol bagi mengurangkan defisit jaringan tetapi ia tidak cukup untuk membantu Perak menempah tiket ke separuh akhir dan memberikan kemenangan 4-3 secara agregat kepada PKNS.

Imej: Asiana