"Kami akan bangkit," demikian janji pemain sayap Pahang, Wan Zaharulnizam Zakaria, untuk aksi timbal balik separuh akhir Piala FA selepas diikat PKNP FC 1-1 dalam pertemuan pertama di Stadium Darulaman, Kuantan, kelmarin.

"Saya rasa jaringan itu membantu pasukan Pahang sebab kalau kami kena 1-0, kami perlu kejar di sana 2-0. Saya rasa gol itu akan membantu Pahang nanti," ujarnya selepas perlawanan.

Dalam pada itu, keyakinan pemain yang mesra disapa Kecik itu juga hadir susulan skuad Tok Gajah akan kembali diperkuatkan dengan tiga tonggak utama dalam pertemuan kedua nanti.

Mereka ialah kapten, Matthew Davies; pemain tengah, Mohd Nor Azam Azih, dan pertahanan, Safuwan Baharudin, yang diketepikan daripada aksi pertama kerana digantung perlawanan.

Sehubungan itu, bekas pemain Harimau Muda A itu percaya pasukannya akan menyajikan persembahan sebenar mereka untuk meneruskan kemaraan ke final, sekali gus mengulangi pencapaian tahun lalu.

"Kami kehilangan tiga pemain yang digantung, menyebabkan kami longgar di bahagian tengah. Oleh sebab itu, saya terpaksa bermain di tengah.

"Kehadiran mereka nanti akan banyak membantu Pahang untuk layak ke final," katanya lagi.