JDT 0 PAHANG 3
(Pahang menang agregat 3-0)

Johor Darul Ta'zim (JDT) harus menelan hakikat pahit dengan kekalahan 3-0 kepada Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.


Selepas seri tanpa jaringan di Stadium Darulmakmur, kedua-dua pasukan mengharungi perlawanan kedua bagi memastikan tempat ke separuh akhir Piala FA.

Pahang, yang turun tanpa beberapa tonggak utama ekoran kecederaan, dilihat menghadapi kesukaran untuk meraih kemenangan berdepan Harimau Selatan di kandangnya sendiri.

Sebaliknya, skuad kendalian Dollah Salleh itu mempamerkan aksi cemerlang apabila membuka jaringan seawal minit kesembilan hasil percubaan Patrick Cruz.

Perlawanan kelihatan seimbang di antara kedua-dua pasukan sebelum Cruz menggandakan jaringan pada minit ke-59.

Keadaan yang makin terdesak buat JDT menyaksikan tuan rumah melakukan serangan demi serangan untuk memburu jaringan tetapi Pahang menemui ruang untuk sekali lagi membolosi gawang yang dikawal oleh Farizal Marlias apabila Cruz bertindak cemerlang untuk menyempurnakan hatrik pada minit ke-76, sekali gus menyingkirkan JDT.