Pemangku ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi, enggan memandang rendah keupayaan Pahang meskipun mengetahui lawannya itu mempunyai masalah kecederaan pemain menjelang aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darulmakmur, malam ini

Bagi pengendali kelahiran Argentina itu, walaupun Pahang dibelenggu masalah kecergasan pemain, mereka tetap lawan yang sukar.

Longhi juga menyedari Pahang adalah antara seteru utama JDT sejak empat musim lalu dan pasti memberi aksi ampuh berdepan Harimau Selatan.

"Ini adalah perlawanan penting untuk JDT tetapi Pahang adalah pasukan yang kuat.

"Kami perlu berjuang dan fokus kerana ia adalah perlawanan sukar. Saya yakin dengan pemain saya," katanya.

JDT tiba di Kuantan semalam dengan kesemua tonggak mereka bebas daripada sebarang kecederaan.

Bagi tonggak tengah JDT, Natxo Insa, pasukannya sudah melakukan persiapan terbaik berdepan Pahang dan mereka mahu melangkah jauh dalam saingan kali ini.

"Piala ini adalah penting untuk kami dan kami tahu esok (malam ini) adalah sukar. Kami perlu melepasi 90 minit di Kuantan sebelum ke Larkin," kata Insa.