Nasib pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, ibarat telur di hujung tanduk selepas gagal membawa skuad Harimau Selatan mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini.

Mora dinaikkan pangkat dari JDT II ke skuad 'abang' awal tahun ini.

Mengambil alih tempat Mario Gomez yang disingkirkan, Mora ditimpa kegagalan terbesar bersama skuad Harimau Selatan malam tadi.

JDT menang 2-1 ke atas Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala FA itu, namun tewas secara agregat 4-3 untuk ditunjukkan jalan keluar bagi kempen musim ini.

"Saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku hari ini (malam tadi). Saya perlu bekerja lebih keras daripada memastikan kesilapan seperti ini tidak berlaku. Tetapi ini adalah bola sepak," ujar Mora.

Mengulas perlawanan di Larkin itu, Mora mendakwa mereka dinafikan sepakan penalti pada minit ke-49 susulan Gabriel Guerra dikasari pertahanan Pahang, Afif Amiruddin.

"Apa yang berlaku itu memang jelas. Pengadil melihat apa yang berlaku, dia berada dekat dengan insiden itu.

"Saya tidak berasakan dia sengaja tidak menganugerahkan sepakan penalti tetapi mungkin dia tidak berkeupayaan untuk melakukannya," tambahnya.