Pengendali Pahang, Dollah Salleh, mengakui beliau turut berdepan cabaran sukar untuk aksi suku akhir kedua Piala FA berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) esok ekoran masalah kecergasan tonggak utama.

Kapten pasukan, Matthew Davies, dan juga tonggak tengah, Safuwan Baharudin, adalah antara pemain utama yang baru beransur pulih daripada kecederaan.

Bagi Dollah, skuad Tok Gajah akan sekali lagi berdepan laluan sukar untuk ke separuh akhir.

"Masalah yang dihadapi Pahang ketika ini adalah ramai pemain yang cedera dan yang terbaru menyertai senarai itu adalah Matthew, jadi ia memberi kesan kepada pasukan.

"Kali ini, mungkin kami akan beraksi hanya berbekalkan pemain yang layak bermain," katanya.

Penyerang muda kebangsaan, R. Kogileswaran, dijangka menjadi antara pemain muda yang akan menjadi sandaran Dollah untuk pertemuan dengan JDT.

Namun, Dollah menegaskan pasukannya tidak akan bermain secara negatif dan akan tetap beraksi seperti biasa walaupun dihimpit masalah kecergasan pemain.

"Kami akan bermain seperti biasa. Siapa sahaja yang diturunkan akan kami pastikan agar memberi aksi terbaik dan saya tidak boleh terlalu berharap pemain-pemain yang cedera untuk dipaksa bermain.

"Saya juga ingin memastikan kesebelasan utama kami bebas daripada kecederaan," tambahnya.