Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, pulih sepenuhnya daripada kecederaan untuk kembali memperkuatkan pasukan menjelang pertemuan getir berdepan Pahang dalam pusingan ketiga Piala FA di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Kehadiran Baddrol menjadi tonik terbaik Kedah selepas ketiadaannya dalam aksi terakhir bertemu Kuala Lumpur menyaksikan skuad Helang Merah itu tewas 3-4.

Menurut pemain berpengalaman Kedah itu, Kedah sedikit bergelut pada awal musim, namun skuad ini masih kekal ampuh bersaing dengan pasukan elit lain.

Dia berjanji kepada seluruh peminat bola sepak Kedah untuk cuba mendapatkan kemenangan di Kuantan, malam ini.

"Kami masih lagi mencari rentak untuk bermain dengan cemerlang. Setiap pemain menggunakan perkara itu sebagai cabaran dan cuba mencari kemenangan," kata Baddrol.

Mengenai kekuatan lawan, Baddrol menghormati skuad Tok Gajah yang dilabel mempunyai barisan serangan terbaik dalam saingan Liga Malaysia setakat ini.

"Pertembungan berdepan Pahang dalam saingan Piala FA amat penting buat kami. Pahang berada pada tahap terbaik bagi musim ini, jentera serangan mereka sangat berkualiti."