Sejarah tercipta apabila buat julung kalinya kempen Piala FA 2019 bakal menampilkan 38 pasukan amatur yang akan berentap dalam pusingan kelayakan bermula Sabtu depan.

Saingan kali ini adalah penyertaan pasukan amatur terbesar sejak Piala FA mula diperkenalkan pada 1990 dan jumlah itu juga menyaksikan peningkatan mendadak berbanding musim lalu, yang hanya membariskan tujuh pasukan.

Empat belas daripada 38 pasukan itu merupakan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga M3 manakala 24 pasukan lagi adalah pasukan daripada Liga M4.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, menyifatkan peningkatan jumlah pasukan amatur itu mampu memberi impak positif kepada pembangunan akar umbi bola sepak tempatan.

“Penglibatan pasukan berstatus amatur ini secara tidak langsung akan memberi pendedahan awal kepada mereka dalam perjalanan menjadi sebuah pasukan profesional.

“MFL juga percaya ia satu petanda yang bagus kepada pembangunan akar umbi bola sepak tempatan,” katanya kepada pemberita dalam majlis Undian Pusingan Kelayakan Piala FA 2019, hari ini.

Sementara itu, undian hari ini menyaksikan 36 pasukan amatur akan berentap sesama sendiri, sementara pasukan JBFA dan MD Besut mengisi dua slot ‘bye’ ke pusingan pertama yang akan disertai 24 pasukan profesional ang beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Kesemua 18 perlawanan pusingan kelayakan akan berlangsung menggunakan format kalah mati.

-- BERNAMA