Di atas kertas, Perak sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepasi halangan Jerantut FA dalam saingan pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.

Hakikat perbezaan di antara juara Piala Malaysia 2018 itu dengan seteru berkenaan bagaikan langit dengan bumi sehingga meyakinkan penyokong bahawa Perak berdepan laluan mudah.

Begitupun, pengurus pasukan The Bos Gaurus, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, enggan menerima hipotesis bahawa Perak akan menang mudah dalam perlawanan itu.

"Bahaya jika bersikap terlalu yakin. Kami tidak boleh pandang rendah kemampuan mana-mana pasukan.

"Tiada yang mustahil dalam bola sepak. Pernah berlaku kejutan yang menyaksikan pasukan handalan tewas kepada pasukan bawahan. Saya tidak mahu ia menimpa Perak.

"Oleh yang demikian, saya berharap pemain Perak tidak akan ambil mudah perlawanan ini," kata Adly.

Sebaliknya, beliau menuntut aksi terbaik daripada setiap pemain bagi memastikan kemaraan ke suku akhir kejohanan kalah mati itu.

"Jika Perak gagal bermain mengikut kemampuan sebenar, sudah tentu ia mengundang masalah.

"Saya berharap pemain kekal fokus dalam tugasan dan jangan bersikap besar diri," katanya.