Kejutan yang dihasilkan pasukan daripada Liga M4, Jerantut FA, dalam pusingan ketiga Piala FA harus membangkitkan juara Piala Malaysia 2018, Perak, bagi menghadapi pertemuan dengan Pahang di Stadium Perak, malam esok.

Dalam perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kelmarin, Perak nyaris ditunjukkan pintu keluar oleh pasukan amatur itu selepas ketinggalan 0-1 dalam babak pertama sebelum bangkit memadam kelebihan lawan menerusi dua gol Wunder Luiz Biten Court dalam babak kedua.

Pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berharap pemain skuad The Bos Gaurus itu dapat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Jengka.

"Ia sebagai satu peringatan kepada pemain Perak berikutan persembahan di bawah tahap sebenar ketika di Jengka tempoh hari.

"Mujur kami berjaya melepasi halangan itu tetapi secara terus terang, saya cukup bimbang melihat persembahan pemain Perak dalam perlawanan itu.

"Oleh yang demikian, saya berharap mereka akan bangkit untuk menunjukkan perwatakan sebenar ketika menentang Pahang malam esok," katanya.

Pengurus Perak itu menambah pemain Perak berdepan pencabar kuat yang sedang menduduki tangga kedua Liga Super.

"Pahang bukan calang-calang pasukan. Mereka memiliki pemain tempatan dan import yang hebat.

"Kami berdepan tugas sukar kerana Pahang belum tumpas sebarang perlawanan setakat ini.

"Namun, saya yakin pemain Perak juga mahu meraih kemenangan untuk menebus maruah serta mengikis imej yang hampir tercalar sebelum ini," ujarnya.