Pemain Perak mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di atas sumbangan RM150,000 berikutan kejayaan mereka mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata pemberian itu adalah tanda keprihatinan Ahmad Faizal terhadap pasukan The Bos Gaurus.

"Sumbangan ini sudah pasti menyemarakkan dan menyuntik semangat pemain.

"Bagi pihak pemain, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Perak," katanya.

Pengurus Perak itu berkata kata-kata semangat daripada presiden PAFA itu dalam pertemuan pada petang sehari sebelum perlawanan dengan Pahang itu turut menjadi faktor membantu kejayaan.

"Dia berjaya membakar semangat pasukan sehingga pemain mempamerkan aksi terbaik mereka dalam perlawanan itu.

"Saya gembira kerana pemain memberikan tindak balas positif serta menyahut cabaran yang dilontarkan," ujarnya.

Adly, yang memuji setiap anggota pasukan, berkata pengurusan pasukan akan memutuskan cara agihan imbuhan itu.

Perak layak ke final Piala FA dengan agregat 4-3 selepas mengatasi Tok Gajah 3-0 dalam perlawanan kedua, Sabtu lalu, untuk menempah pertemuan 27 Julai ini dengan Kedah, yang menyingkirkan Felda United melalui kelebihan jaringan di tempat lawan untuk mara dengan agregat 3-3, malam tadi.