Pasukan Perak melakar kemenangan dramatik dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2019 di Stadium Perak, malam tadi, setelah menumbangkan PKNP FC 2-1 hasil sentuhan pemusnah import baru dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva.

Perak turun dengan kehadiran dua import baru, Silva untuk bergantungan dengan Raianderson Careca dengan harapan untuk mara ke kelompok empat terbaik selepas kempunan sejak 2016.

PKNP pula berharap dapat mencipta kejutan selepas mengikat tuan rumah seri tanpa jaringan ketika aksi suku akhir pertama di Stadium Manjung, 30 April lalu.

Jentera serangan Perak terpaksa menanti sehingga minit ke-22 apabila lorongan Shahrel Fikri Md Fauzi disudahkan Silva untuk Perak mendahului 1-0.

Pelawat tersenyum lebar selepas mendapatkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma Giancarlo Rodrigues pada minit ke-72, lantas memberikan kelebihan kepada mereka daripada sudut jaringan di tempat lawan.

Tatkala PKNP di ambang ke pentas separuh akhir Piala FA buat kali kedua berturut-turut, Silva sekali lagi muncul penyelamat apabila menanduk kemas sepakan penjuru Firdaus Saiyadi pada minit ke-88 untuk membawa skuad The Bos Gaurus menempah pertemuan dengan Pahang di peringkat separuh akhir.

"Kami sedar ia bukan satu perlawanan yang mudah dan sebaik PKNP menyumbat gol penyamaan, kami mula mengambil risiko tinggi.

"PKNP lebih gemar bertahan tetapi barisan pemain saya tidak mudah berputus asa.

"Ia satu pengalaman, usaha dan kegigihan yang mengagumkan dipamerkan pemain Perak.

"Saya amat berterima kasih kepada pemain saya, terutama dua muka baru," kata Durakovic.

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, bagaimanapun, menganggap pengalaman menjadi jurang pemisah kepada pertemuan 'abang-adik' itu apabila berkata: "Kami memberikan tekanan kepada Perak dalam separuh masa kedua dan usaha itu menghasilkan gol yang amat kami nanti-nantikan.

"Cuma kami masih cetek pengalaman apabila pemain terburu-buru ingin menamatkan permainan," katanya.