Pengadil Jepun kendali aksi final Piala FA

Oleh Bernama 13 Julai 2019 643
Pengadil Jepun kendali aksi final Piala FA
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pengadil dan pegawai perlawanan dari Jepun dipilih untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019 di antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, 27 Julai ini.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, berkata selain pengadil, dua pembantu pengadil juga adalah dari Negara Matahari Terbit itu serta seorang pegawai perlawanan tempatan.

Beliau berkata daripada tiga permohonan yang dihantar kepada tiga negara sebelum ini, iaitu Thailand, Australia dan Jepun,  hanya Australia dan Jepun memberi maklum balas positif.

Bagaimanapun, FAM memutuskan untuk menggunakan khidmat tiga pegawai perlawanan dari Jepun selepas meneliti latar belakang dan kelayakan mereka, katanya dalam sidang media selepas Kongres FAM Ke-55 di Petaling Jaya, hari ini.

Stuart berkata pemilihan pengadil dari Jepun itu juga selaras dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), April lalu, bagi mengukuhkan kerjasama antara lain dalam bidang teknikal dan pentadbiran.

Sebelum ini, isu penggunaan pengadil import untuk aksi final itu menjadi sedikit panas apabila FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tampak berselisih pendirian.

Sementara itu, Stuart menegaskan keputusan untuk menggunakan khidmat pengadil dari luar itu sebagai percubaan dan ia tidak bermakna FAM memandang remeh soal pembangunan pengadil tempatan.

Menurutnya, usaha itu adalah untuk memenuhi hasrat peminat bola sepak tempatan yang ingin melihat tahap mutu pengadilan berkualiti dalam sesebuah perlawanan final berkeamatan tinggi.

Untuk rekod, Perak muncul juara Piala FA pada 1990 dan 2004 manakala Kedah juara empat kali dengan kali terakhir pada edisi 2017.

-- BERNAMA  

Tentang Penulis

Bernama

Komen