Sekalipun berdepan ujian getir menentang Terengganu FC (TFC) dalam suku akhir Piala FA, Pahang kekal menjadi pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan selepas pasukan itu tidak lagi dibayangi oleh seteru utama, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pahang dan JDT ibarat dua seteru yang tidak mahu tewas, malah persaingan di antara kedua-dua pasukan itu sering menghangatkan kancah bola sepak tempatan.

Buktinya, JDT dan Pahang sedang bersaing sengit dalam perebutan kejuaraan Liga Super musim ini, dengan JDT kini sedang mendahului dengan kelebihan dua mata.

Bagaimanapun, dengan penyingkiran JDT menjelang suku akhir Piala FA, ia membuka peluang untuk Pahang melangkah jauh tatkala ia juga mengundang kelegaan buat pasukan lain seperti Perak dan Kedah.

Kehadiran PKNS FC juga tidak boleh dipandang sepi selepas skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu menyingkirkan JDT dalam pusingan ketiga kelmarin selain Felda United, yang mengejutkan naib juara edisi lalu, Selangor.

TFC mempunyai kualiti untuk ke pentas final, namun perlu memperbaiki prestasi semasa tatkala Kuala Lumpur dan PKNP FC pula perlu mengelak daripada dilabel sebagai pasukan pelengkap saingan.

"Klasiknya Piala FA ini kerana pelbagai perkara boleh berlaku.

"Pertemuan dengan Pahang itu mengingatkan kami dengan perlawanan separuh akhir menentang JDT tahun lalu.

"Ia perlawanan kalah mati walaupun dua kali main (timbal balik), jadi kami akan mencuba yang terbaik," kata ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim.