Juara bertahan Piala FA 2018, Pahang, mahu mengelak tragedi edisi 2016 berulang apabila gergasi Pantai Timur itu bakal berentap dengan UKM FC dalam pusingan ketiga Piala FA 2019, malam esok.

Pahang pernah mengalami episod hitam dalam kancah saingan Piala FA yang menyaksikan mereka disingkirkan pasukan berstatus kelab, Sime Darby, dalam edisi 2016.

Mengambil iktibar daripada kekecewaan itu, skuad Tok Gajah dijangka akan menurunkan kesebelasan terbaik biarpun baru sahaja mengharungi perlawanan Liga Super menentang PKNS FC yang memihak kepada mereka 2-1, kelmarin.

Sungguhpun mengakui kebanyakan pemain masih lagi kepenatan, kemenangan serta pencapaian mencalarkan rekod skuad Semut Merah itu yang kebal tidak dibolosi dalam lima perlawanan berturut-turut memberi tonik buat Pahang untuk mengharungi aksi di Stadium KLFA, Cheras.

"Dalam kamus bola sepak saya, tiada pasukan yang boleh dilabel sebagai 'underdog'.

"Permainan ini membabitkan 11 pemain menentang 11 pemain yang lain, kami semua adalah manusia biasa dan inilah bola sepak. Sebaliknya, saya anggap Pahang adalah pasukan 'underdog' sebenar.

"Setiap pasukan sama sahaja, mereka turun untuk bermain bola sepak dan untuk itu, tiada pasukan boleh dilabel 'underdog'," kata penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme.

Tonggak import kelahiran Nigeria itu sudah menemui sentuhan penyudah semula setelah direhatkan kerana kecederaan pangkal paha dengan menyumbat satu gol ke atas PKNS.

"Keadaan saya bertambah bagus.

"Selepas lama tidak mengharungi aksi 90 minit, ia langkah yang baik dan keadaan saya semakin pulih," katanya lagi.