Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, berdepan perasaan bercampur-baur di sebalik kemaraan skuad Tok Gajah itu ke suku akhir Piala FA apabila penggempur berbisa pasukannya, Dickson Nwakaeme, dijangka akan terlepas aksi penting Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), 28 April ini.

Kecederaan paha kembali menghantui Nwakaeme selepas penyerang kelahiran Nigeria itu dilihat tidak dapat menahan kesakitan ketika menentang UKM FC dalam pusingan ketiga Piala FA, kelmarin.

Insiden yang berlaku pada penghujung babak pertama itu memaksa juara bertahan Piala FA berkenaan bergelut untuk melakar kemenangan tipis 1-0.

Di sebalik kejayaan itu, Dollah pasti akan merasai ketiadaan Nwakaeme ketika Pahang akan berdepan dua aksi berprofil tinggi bertemu Perak, malam esok sebelum melayani kunjungan JDT, seminggu kemudian.

"Ia kecederaan berulang selepas aksi berdepan PKNS FC hari itu berlangsung dalam keadaan berat selepas hujan.

"Ia berbahaya buat orang yang selalu kena (kecederaan) hamstring.

"Dia katakan tak berapa serius tetapi sekurang-kurangnya dia perlu berehat dua minggu juga," katanya.

Dalam aksi di Stadium KLFA, Cheras, malam kelmarin, Matthew Davies muncul wira Pahang menerusi gol tunggal perlawanan yang terhasil susulan salah faham yang berlaku di benteng akhir UKM FC.

Ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, bagaimanapun, "tidak melatah" dengan kekalahan itu, sebaliknya berbangga dengan kemampuan barisan pemainnya menghadirkan saingan hebat terhadap lawan yang mempunyai reputasi besar itu.

"Kami merancang untuk melakukan serangan balas pantas dan bertahan secara satu unit kerana Pahang memiliki pemain berpangalaman seperti Matthew dan (Mohamadou) Sumareh.

"Jika kami bermain secara terbuka, ia akan memudahkan Pahang untuk bermain," katanya.