Malang dan menyedihkan -- Subkhiddin

Oleh Staff Writer 13 Julai 2019 1024
Malang dan menyedihkan -- Subkhiddin
Itu reaksi bekas pengadil Piala Dunia, Subkhiddin Salleh, rentetan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan penganjur bola sepak negara, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), yang mengetepikan pengadil tempatan menjelang aksi final Piala FA di antara Perak dan Kedah hujung bulan ini.

Keputusan itu bertentangan dengan pendirian Subkhiddin yang melihat ia sebagai "penganiayaan" kepada pengadil tempatan.

Jelas pengadil berpengalaman itu, dia tidak nampak di mana relevannya kehadiran pengadil luar mengadili perlawanan besar dalam saingan Liga Malaysia yang sepatutnya didominasi oleh pengadil sendiri.

"Mereka telah bertungkus-lumus daripada awal saingan dan bagi aksi final, ia bakal diadili pengadil dari luar negara.

"Saya berasakan ia merupakan sesuatu yang sangat malang kerana kita perlu yakin dengan pengadil negara.

"Susah senang, baik dan buruk pengadil negara, kita perlu bertanggungjawab dan menanggung setiap risiko," katanya.

Tegas Subkhiddin, hal ini tidak pernah berlaku di mana-mana negara luar yang lebih mengutamakan pengadil tempatan setiap kali berhadapan aksi final bagi saingan liga sendiri.

Bagaimanapun, FAM terus menganggap ia langkah bijak tanpa mengambil kira perit-jerih pengadil tempatan yang sudah bertungkus-lumus dari awal musim.

"Saya berasakan ia merupakan salah satu langkah FAM untuk mencuba sesuatu yang baru. Bola sepak adalah sukan yang terbuka menerima sebarang pendapat serta pandangan," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pula.

"Terdapat pihak yang tidak akan bersetuju dengan inisiatif ini tetapi kami mahu mencuba dan melihat impaknya."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen