"Malam ini cukup istimewa," kata Mehmet Durakovic selepas pasukannya, Perak, menundukkan PKNP FC 2-1 untuk mara ke separuh akhir Piala FA, semalam.

Dalam perlawanan suku akhir kedua di Ipoh itu, pemain baru Perak, Ronaldo Henrique Silva, menumbangkan lawan dengan dua jaringan untuk tuan rumah mara dengan agregat 2-1.

"Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Perak di atas pemberian dua pemain baru ini.

"Kehadiran mereka membantu kejayaan Perak, malah setiap pemain telah bekerja keras untuk kemenangan ini," katanya.

Jurulatih itu memuji anak buahnya yang tidak berhenti berjuang sehingga ke wisel penamat ketika kedudukan terikat 1-1.

Jika keputusan itu kekal, PKNP FC akan mara ke separuh akhir berdasarkan jaringan di laman lawan.

Perak mendahului melalui jaringan Ronaldo pada minit ke-23 tetapi kelebihan itu dipadamkan Giancarlo Lopes pada minit ke-71 sebelum Ronaldo sekali lagi meletakkan Perak di depan pada minit ke-88.

"Saya memang percaya dan yakin dengan kemampuan pemain saya untuk menghasilkan kejayaan ini.

"Mereka membuktikan kepada saya tentang kebenaran itu," tambahnya.