Pemilihan pasukan divisyen empat Liga Malaysia (Liga M) bermula menerusi pasukan yang muncul juara daripada 16 liga negeri atau liga sosial seluruh negara pada musim 2018.

Sebanyak 16 pasukan terbabit akan membentuk divisyen empat pada 2019 dengan juara serta naib juara berpeluang naik ke Piala FAM pada 2020.

"Beribu-ribu pemain amatur bermain dalam liga sosial pada setiap minggu.

"Mereka ini tidak pernah diberi peluang untuk beraksi dalam kancah liga bola sepak profesional di Malaysia.

"Di United Kingdom (UK) dan Jepun, contohnya, liga amatur akan terlibat dalam Piala FA -- salah satu kejohanan yang melibatkan lapisan kelab sosial dan amatur," kata Ketua Pegawai Operasi Selangor Youth Community (SYC), Dr. John Kamal Hamidon.

Penolong Setiausaha Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Kamarudin Mohamad, turut berpendirian sama: " Ia perancangan jangka masa panjang. Untuk itu, pasukan-pasukan ini akan bersedia pada masa hadapan."

Sementara itu, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengesahkan sebanyak sembilan pasukan liga sosial mendapat jemputan beraksi dalam pusingan kelayakan Piala FA untuk berentap dengan tujuh pasukan Piala FAM.