Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengadakan majlis meraikan kajayaan skuad Lang Merah menjulang Piala FA 2019 di dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar, esok.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata majlis itu bertujuan memberi peluang kepada penyokong dan rakyat Kedah untuk meraikan kejayaan itu bersama-sama pemain dan pegawai pasukan serta melihat sendiri Piala FA 2019.

“Kami jemput semua penyokong untuk datang ke dataran Wisma Darul Aman pada pukul 1 petang esok, kami bagi peluang untuk mereka melihat sendiri wira kami yang telah berhempas-pulas untuk memastikan kemenangan milik kami.

“Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada penyokong Kedah yang setia di belakang pemain kami sehingga menjadi juara Piala FA,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan usahawan padi berskala besar di Kampung Kubang Anak Gajah, Pendang, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah imbuhan kepada pemain susulan kejayaan itu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata ia adalah rahsia di antara KFA dan pemain.

Tanpa mengulas secara terperinci, beliau berkata ada imbuhan yang disediakan untuk mereka dan ia tidaklah terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil.

“Sebenarnya, pemain sendiri beritahu soal duit itu bukan menjadi penentu mereka untuk beraksi cemerlang di atas padang tetapi ia adalah atas sokongan rakyat Kedah sendiri yang sanggup turun ke stadium.

“Pemain sangat menghargai penyokong mereka dan kerana itulah mereka cuba habis-habisan untuk menjaringkan gol dan pada masa sama, saya akui Perak merupakan pasukan yang kuat, tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi mereka kerana kami ada penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, yang hebat dan dia dipilih selaku pemain terbaik perlawanan,” katanya.

Kedah muncul juara Piala FA 2019 selepas menundukkan Perak 1-0 menerusi jaringan pemain muda, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, pada minit ke-105 perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Kejayaan menjulang trofi itu adalah yang kelima buat Kedah dengan kali terakhir dua tahun lalu selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA