Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, bangga dengan komitmen pemainnya selepas kelab itu mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama sejak 2014.

Kali terakhir Felda ke separuh akhir adalah dalam edisi 2014 sebelum The Fighters muncul naib juara selepas tewas kepada Pahang dalam final.

Dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi, Felda mengikat Kuala Lumpur tanpa jaringan untuk melayakkan The Fighters ke separuh akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan selepas kelab itu seri 3-3 dalam perhitungan pertama.

Nidzam berkata kemenangan mereka bukan daripada perancangan strategi, namun menjurus kepada kerja keras semua pemain dalam skuad.

"Kami banyak menonton dan mengkaji corak permainan Kuala Lumpur dan mencari jalan untuk mematahkan serangan mereka," katanya.

Bagaimanapun, Nidzam bimbang kerana kejayaan dalam saingan Piala FA juga meningkatkan bilangan pemain yang cedera sebelum bermulanya perlawanan Liga Super.

"Bilangan senarai pemain tercedera semakin ramai seperti Hadin Azman, Jasazrin Jamaluddin, Muhammad Daniel Amier Norhisham, termasuklah Khairul Amri Mohd Kamal yang memperagakan permainan sempurna, malam tadi.

"Tetapi dalam 20 minit terakhir, bahu Khairul Amri sedikit terkehel akibat terjahan. Itulah yang merisaukan kami ketika ini," tambahnya.

Felda yang kini berada di tangga ke-11 liga akan bertemu Kedah bagi saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Darulaman, hujung bulan depan.