Kelantan United FC yang dibarisi pemain berpengalaman melaungkan amaran awal untuk menjinakkan lawannya, KLG Southern FC, dalam pusingan kelayakan Piala FA di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) petang esok.

Ketua jurulatih Kelantan United FC, Zahasmi Ismail, berkata kehadiran tonggak utama yang merupakan bekas pemain skuad Liga Malaysia (Liga-M) Kelantan diharap menjadi faktor pemisah apabila bertemu kelab dari Lembah Klang itu.

"Alhamdulillah, kamimemiliki penyerang, Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi, Famirul Ashraf Sayuti, Mohd Shahrul Hakim Rahim, Mohd Daudsu Jamaludin dan penjaga gol veteran, Mohd Shahrizan Ismail, yang menjadi tunjang pasukan ini.

"Saya harap kehadiran mereka mampu mengemudi pasukan untuk mencipta kemenangan ke atas KLG Southern FC nanti," katanya.

Zahasmi yang juga bekas pengendali skuad Liga Super Kelantan memberitahu bahawa skuad kendaliannya itu menghormati kekuatan lawan dan tidak mengambil mudah pertemuan itu.

Menurutnya, Kelantan United FC memasang impian untuk mara sejauh mungkin dalam kempen Piala FA musim ini biarpun tidak meletakkan sasaran tertentu.

"Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Kami tidak memandang rendah pasukan lawan bahkan akan cuba sedaya-upaya untuk memenangi perlawanan ini bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

"Cuma saya ingin ingatkan kepada semua pemain, gunakan setiap peluang yang ada dan jangan terlampau yakin. " katanya.