Kekalahan Perak di tangan Kedah dalam final Piala FA 2019 disifatkan sebagai satu keputusan yang kejam oleh penjaga gol skuad The Bos Gaurus, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Juara Piala Malaysia 2018 itu tewas 0-1 disaksikan 83,520 penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) dalam final yang berlangsung selama 120 minit selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan dalam 90 minit masa permainan sebenar.

Ketika ditemui selepas perlawanan, penjaga gol berusia 26 tahun itu menyifatkan Perak telah berjaya mendominasi permainan dengan baik selain mencipta banyak peluang menjaringkan gol, namun kegagalan menyempurnakan segala peluang terhidang membuatkan kekalahan tersebut amat perit untuk ditelan.

“Memang kami kecewa sebab bagi saya, ini merupakan satu keputusan yang cukup kejam sebab kalau tengok perlawanan malam ini, pasukan telah berikan sehabis baik, semua pemain yang turun beraksi memberikan segalanya yang mereka ada.

“Perlawanan malam ini bukan mudah dan kita tahu ia akan menjadi cukup sengit. Tahniah buat pasukan Kedah. Walaupun tak bawa balik piala, saya tetap bersyukur sebab sekurang-kurangnya kami melangkah ke final tahun ini,” katanya.

Dalam aksi semalam, jaringan pemain gantian Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, pada minit ke-105 menjulang Kedah muncul juara Piala FA 2019, sekali gus meranapkan impian Perak untuk menamatkan penantian 15 tahun merangkul trofi berprestij tersebut selepas kali terakhir melakukannya pada 2004.

Meskipun tewas, Hafizul layak diberi pujian atas prestasi terbaik yang ditampilkan dengan bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Kedah, termasuk situasi satu lawan satu berdepan Muhammad Farhan Roslan dan Jonatan Bauman pada minit-minit akhir perlawanan.

Menurutnya, kekalahan tersebut sedikit-sebanyak memberi pengajaran berguna buat Perak.

Semua pemain, tambahnya, perlu melupakan kekecewaan itu dan memberikan tumpuan terhadap saingan Piala Malaysia yang bermula Jumaat ini.

“Perlawanan ini satu pembelajaran dan pengajaran. Kami belajar macam mana nak kawal situasi kalau beraksi dengan 10 pemain dan menyerap tekanan yang cukup hebat daripada pasukan Kedah. Ini satu pengajaran berguna untuk pasukan.

“Kami tidak boleh terus rasa kecewa atas kekalahan ini. Kami perlu cepat lupakan kerana minggu depan, kita akan bermula dengan saingan Piala Malaysia. Jadi, segala fokus ketika ini perlu diberikan terhadap saingan itu,” tambahnya.

-- BERNAMA