Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, mempunyai pelan alternatif jika pemain pertahanan importnya, Renan Da Silva Alves, tidak dapat diturunkan dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Aidil Sharin tidak terlalu gusar tentang perkara itu kerana terdapat beberapa pemain muda yang mampu mengisi kekosongan dan yakin masing-masing berupaya menonjolkan persembahan menarik.

"Kalau rayuan terhadap Renan ditolak, saya perlu beralih melihat kerja keras dan latihan pemain lain setiap hari menjelang aksi final itu tetapi saya tidak boleh sebut siapa pilihan saya.

"Sudah tentu saya sedang mencongak pelan A dan pelan B dan kami akan lihat nanti siapa yang terbaik untuk diturunkan bagi menggalas tanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita ketika mengendalikan sesi latihan di Stadium Darul Aman, hari ini.

Renan sebelum ini dilayangkan kad merah apabila menerima kad kuning kedua selepas mengasari penyerang Felda United, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal, dalam perlawanan yang menyaksikan skuad Lang Merah tewas 5-1 di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang.

Sementara itu, Aidil Sharin berkata Perak tetap diletakkan sebagai pasukan pilihan berdasarkan prestasi yang dipamerkan skuad The Bos Gaurus itu, terutama selepas musim perpindahan kedua baru-baru ini yang melibatkan tiga pemain import baharu mereka.

Namun, dia tetap optimis anak buahnya dapat melakukan sesuatu dalam perlawanan akhir tersebut asalkan tidak melakukan kesilapan dan menyempurnakan setiap peluang terhidang.

"Perak boleh menggelarkan mereka sebagai pasukan underdog, begitu juga kami tetapi perkara itu tidak menjadi masalah kerana apa yang saya mahu pemain mesti fokus sepanjang 90 minit permainan."

Dalam masa sama, dia berharap anak buahnya dapat melupakan aksi sebelum ini dan tugasnya kini adalah penting untuk memotivasikan pemain serta melatih mereka dengan lebih komprehensif sebelum aksi penting Sabtu ini.

Kedah akan bertemu Perak di pentas akhir bagi merebut Piala FA 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Kali terakhir Lang Merah membawa pulang Piala FA adalah dua tahun lalu apabila menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA