Di sebalik kejayaan melakar kemenangan 1-0 ke atas Felda United dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam, Kedah sepatutnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal membawa bekalan lebih selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, minggu depan.

Kedah ternyata memandang mudah cabaran Felda United yang turun ke Alor Setar tanpa kesebelasan terbaik.

Jaringan tunggal yang dihasilkan tonggak import, Fernando Rodriguez, masih belum cukup untuk meletakkan skuad Lang Merah itu di laluan selesa untuk ke final.

Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, mengakui tertekan untuk segera menajamkan jentera serangan pasukannya menjelang aksi kedua, Sabtu depan.

"Saya gembira kerana kami menang, tidak kiralah sama ada ia 1-0 atau 2-0.

"Kami boleh menang dengan 3-0, namun jika kami turun dengan minda yang mudah berpuas hati, kita akan lihat bola sepak seperti Barcelona dan pasukan-pasukan gergasi ini bermain.

"Kerana itulah, ini (kemenangan tipis 1-0) sesuatu yang baik.

"Jadi, kami boleh mengekalkan keyakinan tinggi untuk turun ke sana dengan minda yang positif dan bukannya terlebih yakin," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, mendedahkan gandingan lima pertahanan yang terdiri daripada Ahmad Tasnim Fitri Nasir, Raffi Nagoorgani, Jadid Ilias, Anwar Ibrahim dan Ahmad Haziq Ahmad Puad, merupakan percaturan berisiko kerana barisan pemain itu hanya sempat menjalani latihan taktikal selama dua jam sebelum perlawanan.

Ia gara-gara penggantungan beberapa pemain tonggak seperti Thiago Junio dan Masaki Watanabe.

"Ia kali pertama kami bermain dengan lima pertahanan dan hanya dapat berlatih menggunakannya selama dua jam pada dua hari lepas sebelum bertandang ke sini.

"Ia kali pertama mereka berlima beraksi bersama.

"Saya rasa ia risiko yang agak gila yang kami ambil.

"Namun, saya percaya mereka mampu melakukannya," katanya.