Skuad Kedah perlu memperbaiki prestasi di atas padang bagi mengelak senario sama berulang ketika tewas 2-3 kepada Felda United di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, berkata berdasarkan pemerhatian, skuad kendaliannya itu hanya berjaya mendominasi separuh masa pertama sebelum berpihak kepada pasukan tuan rumah dalam babak kedua.

“Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada pemain saya dan pasukan Felda United yang telah memberikan kami satu perlawanan sukar. Kami menguasai separuh masa pertama tetapi segalanya berubah apabila pihak lawan berjaya menjaringkan gol pertama mereka,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

"Anda boleh lihat Thiago Junio naik ke atas dari bawah untuk memberi masalah kepada kami. Ada dua pemain yang benar-benar mengancam benteng kami, iaitu Thiago dan Hadin Azman."

Aidil Sharin mengakui secara keseluruhan, persembahan anak buahnya masih memerlukan penambahbaikan menjelang perlawanan akhir menentang Perak, 27 Julai ini, sambil menegaskan usaha dan komitmen pasukan perlu ditingkatkan untuk memperbaiki prestasi pasukan menjadi lebih baik.

Sementara itu, pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil, berkata jaringan penalti yang diperoleh Kedah di awal permainan menyukarkan mereka untuk menyaingi pasukan pelawat itu.

"Kami perlu sedar kesannya apabila bolos di tempat lawan dan selepas mereka jaring satu gol, kami perlu hasilkan tiga gol di tempat sendiri. Jika bolos dua gol, kami perlu hasilkan empat gol," ujar bekas pemain kebangsaan itu.

"Kami tidak boleh menjangkakan Kedah bermain seperti pasukan bawahan kerana mereka berpengalaman, jadi skuad Felda perlu banyak bertahan di samping melancarkan serangan.

"Apa pun, saya terkilan apabila gagal mara ke final Piala FA kerana saya percaya kami boleh melakukannya walaupun orang lain tidak percaya."

Bagaimanapun, Nidzam menyedari pemain kendaliannya sudah memberikan persembahan terbaik dengan menterjemahkan kemenangan 3-2 ke atas Kedah walaupun tidak melangkah ke final.

"Ini pengalaman semi final Piala FA yang pertama kami. Dengan dibarisi majoriti pemain muda, saya percaya Felda United mampu pergi lebih jauh pada masa hadapan."

-- BERNAMA