"Saya pernah diminta untuk keluar daripada pasukan."

Demikian situasi yang menjadi kekuatan buat penyerang Terengganu, Tchetche Kipre, untuk bangkit dengan cemerlang ketika menewaskan Pahang 2-1 dalam suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu, semalam.


Kipre dikecam oleh sesetengah penyokong Terengganu gara-gara prestasi hambarnya sebelum ini.

Ia selepas penyerang import dari Ivory Coast itu gagal menghasilkan gol dalam sembilan perlawanan pertamanya musim ini.

Namun, dia kini sudah kembali ke prestasi terbaik dengan merekodkan lima gol dalam empat perlawanan terakhir gergasi Pantai Timur itu.

"Terdapat penyokong yang mengirimkan pesanan agar saya keluar daripada pasukan tetapi saya hanya membalasnya dengan positif.

"Inilah bola sepak dan ia boleh berlaku.

"Saya fikir mereka kini sudah kembali gembira, terutama yang kerap menyokong saya selama ini," katanya.

Kipre membantu Terengganu menewaskan juara bertahan, Pahang, di laman sendiri.

Sekalipun sedakar memastikan bekalan tipis, dia tetap berasakan skuad Peteh itu mempunyai peluang cerah untuk ke separuh akhir.

"Kami akan melaluinya dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Saya amat gembira untuk terus bergandingan baik dengan pemain tengah untuk menyudahkan setiap peluang," tambahnya.