"Kekalahan dan persembahan terburuk."

Itu reaksi pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, sejurus pasukannya diaibkan dengan kekalahan 0-4 di tangan Pahang, malam tadi, sekali gus meranapkan impian skuad Peteh itu untuk ke separuh akhir Piala FA,


Dengan mengakui bahawa Pahang merupakan pasukan yang lebih berhak untuk menang, Irfan berkata corak permainan TFC yang terlalu 'lembut' menyebabkan mereka gagal menyekat dominasi tuan rumah.

Malah, katanya,hanya persembahan penyerang, Kipre Tchetche, dan penjaga gol, Mohd Suffian Rahman, yang menyerlah.

"Bagus main bersih tanpa layangan kad kuning tetapi bagi saya, ia kurang cerdik.

"Kami memberikan terlampau banyak ruang kepada Pahang yang patutnya boleh menjaringkan tujuh atau lapan gol," katanya.

TFC terpaksa akur selepas pintu gol mereka dirobek sebanyak empat kali menerusi Faisal Abdul Halim pada minit ketujuh, Dickson Nwakaeme (m-48 dan 63) dan Mohamadou Sumareh (m-74).

Peluang terbaik TFC hadir selepas waktu rehat apabila percubaan Lee Tuck (m-55) dan tandukan Tchetche (m-59) mudah diselamatkan penjaga gol lawan, Helmi Eliza Elias.

"Ketika itu kedudukan masih 1-0. Selepas percubaan tersebut, pemain-pemain saya 'tidur'.

"Kami lambat melakukan serangan dan tidak berani dengan bola, menyebabkan hanya bermain dengan lambungan bola," tambahnya.