Selangor dan Pahang menjadi pilihan untuk mara ke pentas akhir Piala FA berdasarkan prestasi semasa serta kekuatan yang lebih baik di jentera serangan berbanding pencabar mereka dalam separuh akhir.

Pemerhati bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir, cenderung untuk memilih Selangor berbanding PKNS FC selepas melihat keupayaan jentera serangan untuk dijadikan perbandingan.

Walaupun soal pengalaman mungkin memihak PKNS, rekod Selangor yang belum tewas kepada skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu menjadi asas utama buat Hasnizam memilih The Red Giants.

Baginya, Selangor juga merupakan pasukan yang lebih kreatif dan mempunyai banyak pilihan daripada aspek taktikal serangan.

"PKNS memang mempunyai pengalaman. Jika dilihat, Datuk K. Rajagobal lebih gemar menggunakan kekuatan dari bahagian sayap tetapi kreativiti yang ada pada barisan tengah Selangor mampu memberikan kelebihan kepada The Red Giants," ujarnya.

Sementara itu, Hasnizam menjangkakan Pahang tidak akan berdepan banyak masalah besar untuk mengatasi PKNP FC dalam satu lagi separuh akhir.

Walaupun kehilangan tiga tonggak utama, iaitu Matthew Davies, Nor Azam Azih dan Safuwan Baharuddin untuk menghadapi saingan separuh akhir pertama kerana penggantungan, ia belum mampu menjejaskan keseluruhan kekuatan skuad Tok Gajah.

"Pemain-pemain Pahang mempunyai kredibiliti mereka sendiri, terutama dengan kehadiran Mohamadou Sumareh dan Issey Nakajima yang mampu meledakkan gol kebelakangan ini, sudah tentu ia memberi sumbangan besar buat Pahang."