Pemain tengah, Halim Saari, percaya terhadap kemampuan Selangor untuk melepasi halangan pusingan ketiga Piala FA walaupun mereka terpaksa beraksi tempang untuk pertemuan menentang Felda United, malam ini.

Selangor menerima satu lagi tamparan hebat apabila tonggak pertahanan, Taylor Regan, dilanda kecederaan, sekali gus terpaksa diketepikan untuk aksi di Stadium Shah Alam itu.

Sebelum ini, Gergasi Merah terpaksa melupakan khidmat penyerang, Rufino Segovia, dan perancang tengah, Endrick Dos Santos, yang mengalami kecederaan panjang.

Namun, itulah nasib yang dialami skuad bimbingan B. Sathianathan itu tatkala mereka berada di tahap prestasi terbaik menerusi rekod lima perlawanan tanpa kalah.

"Walaupun Selangor dilanda masalah kecederaan, setiap pemain yang diberi peluang akan memberikan aksi terbaik," kata Halim.

Berikutan kehilangan Dos Santos, Halim akan sekali lagi membentuk gandingan bersama K. Sarkunan untuk menjana jentera tengah Selangor.

Untuk rekod, Selangor dan Felda seri 1-1 ketika berentap dalam pusingan pertama Liga Super musim ini.

"Kami tidak pandang mudah cabaran Felda. Walaupun kami beraksi dengan 10 pemain dalam aksi terdahulu, kami tetap meraih satu mata," katanya lagi.