Hadin anggap gol cantik pemangkin Felda 

Oleh Staff Writer 17 April 2019 497
Hadin anggap gol cantik pemangkin Felda 
Ketua pasukan Felda United, Hadin Azman, menganggap gol menariknya ketika muncul wira The Fighters untuk menyingkirkan Selangor dalam aksi pusingan ketiga Piala FA malam tadi sebagai antara detik manis dalam kariernya.

Hadin menghasilkan gol pada lewat permainan untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas Gergasi Merah di Stadium Shah Alam. 

Ia dianggap magis kerana pemain kebangsaan itu meledak jaringan menerusi gerakan solo dari tengah padang.

Berkongsi mengenai gol menarik itu, ini reaksi Hadin: "Saya pernah menghasilkan gol seumpama itu ketika mewakili Johor pada usia 18 tahun.

"Walaupun ia dilihat satu jaringan menarik dan mungkin dianggap boleh mencabar Anugerah Puskas tetapi bagi saya, masih banyak lagi gol menarik yang terhasil di luar sana," katanya. 

Ia juga merupakan gol keempat Hadin musim ini, sekali gus memperbaiki pencapaiannya musim lalu.

Dia bertekad untuk meneruskan aksi cemerlangnya, terutama untuk membantu Felda kekal dalam saingan Liga Super.

"Kemenangan ini satu motivasi buat kami untuk bangkit selepas keciciran banyak mata dalam Liga Super. 

"Sempena perlawanan ini, saya berpesan kepada rakan sepasukan agar memanfaatkan peluang kerana tiada aksi timbal balik," katanya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen