KEDAH 1 PERAK 0
(selepas tambahan masa)

Di mana pemain lebih berpengalaman semuanya gagal, ia memerlukan seorang pemain sementah usia 21 tahun bagi memberikan perbezaan untuk Kedah ditabalkan juara Piala FA semula dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.


Fadzrul Danel Mohd Nizam, yang masuk mengambil tempat David Rowley (m-103) menghadirkan sentuhan pemusnah terhadap hantaran lintang Rizal Ghazali, 15 minit dalam masa tambahan untuk Kedah meraih piala itu buat kali kelima bersaksikan kira-kira 85,000 penonton.

Kad merah buat pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan, di penghujung permainan sebenar 90 minit, jelas dimanfaatkan skuad Lang Merah itu yang menghampakan lawan daripada memastikan kesinambungan daripada menjuarai Piala Malaysia musim lalu serta memanjangkan penantian terhadap Piala FA sejak 2004.

Kedah memenangi lambungan syiling untuk membuat sepak mula tetapi Perak yang mengasak awal dengan dua peluang berturut-turut menerusi Raianderson De Costa Morais (Careca), dengan percubaannya pada minit kesembilan tersasar manakala tandukannya daripada sepakan percuma Nazirul Naim Che Hashim (m-12) diselamatkan.

Beraksi di permukaan padang lembab menjejaskan sedikit kelancaran permainan, namun kedua-dua pasukan menampilkan tempo yang agak baik di sebalik tidak banyak memaksa kedua-dua penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Ifwat Akmal Che Kassim untuk bekerja lebih masa.

Tiga kad kuning Perak, didahului Nazirul Naim, kemudiannya Leandro dos Santos dan Amirul Azhan, jelas merencatkan rentak agresif The Bos Gaurus sambil kedua-dua pasukan berwaspada dengan pengadil dari Jepun, Takuto Okabe, yang didatangkan khusus untuk final ini.

Malah, untuk sepanjang 30 minit pertama, Kedah gagal melakukan sebarang percubaan dan apabila peluang pertama mereka tiba pada minit ke-31 daripada sepakan percuma betul-betul di hadapan kotak penalti, Edgar Bernhardt melambungkannya melepasi palang.

Separuh pertama itu disudahi dengan satu lagi tandukan Careca (m-35) di samping percubaan Farhan Roslan (m-36) yang gagal diterjemahkan kepada jaringan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan saingan seimbang.

Perak tidak berlengah menyerlahkan keinginannya selepas rehat dengan sepakan percuma Nazirul Naim menyinggahi palang selepas empat minit tapi Kedah yang harus lebih menyesali nasib apabila hantaran lolos Edgar Bernhardt menemui Farhan yang mendapati Hafizul Hakim lebih tangkas dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-62.

Permainan benar-benar ‘hidup’ selepas sejam, dengan J. Partiban semakin mengancam di bahagian sayap kanan Perak sambil Brendan Gan kerap meninggalkan peranan bertahannya untuk lebih kerap membantu serangan.

Dua lagi situasi satu lawan satu menyusul, namun menyaksikan Brendan gagal menewaskan Ifwat (m-69) manakala Jonatan Bauman turut digagalkan Hafizul Hakim (m-92) untuk kebuntuan jaringan berlarutan.

Kad kuning kedua buat Amirul Azhan gara-gara faul ke atas Bauman seminit kemudian kembali mencemaskan Perak tapi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar yang terus ke dakapan penjaga gol dan wisel penamat untuk ke masa tambahan menjadi penyelamat sementara.

Kelebihan seorang pemain menyaksikan Kedah yang lebih ghairah menekan dalam masa tambahan dan detik buat mereka tiba pada minit ke-105 apabila Rizal Ghazali melintangkan hantaran rendah untuk pemain gantian, Fadzrul Danel, menewaskan Hafizul Hakim bagi menyudahkan gol kemenangan.