Menjelang aksi bertemu Kelantan dalam saingan Piala FA, pemain tengah Selangor, Faiz Nasir, lebih teruja untuk membuktikan kemampuan sebenar kepada pasukan negeri kelahirannya itu dan mahu membawa kemenangan buat skuad Merah Kuning.

Seteru di atas padang melibatkan Gergasi Merah dan Pahlawan Merah bukan hal baru.

Malah, ia sudah berlaku melebihi sedekad lalu ketika kedua-dua pasukan itu meniti era kegemilangan satu masa dulu.

Faiz mahu aura itu diteruskan menjelang aksi pertama Piala FA, Rabu ini, walaupun berdarah Kelantan.

Dia bertekad membawa kemenangan buat Selangor yang merupakan majikannya kini.

"Saya inginkan buktikan kemampuan ketika pulang 'kampung halaman' memandangkan selepas bersama skuad Piala Presiden Kelantan, saya telah berkelana ke luar.

"Jadi saya tidak pernah berkesempatan mewakili Kelantan.

"Saya pernah menerima tawaran daripada mereka tetapi biarlah saya timba pengalaman bersama pasukan di luar terlebih dahulu," katanya.

Itu tidak bermaksud dia memandang mudah keupayaan Kelantan yang dibarisi majoriti 'ubi' muda.

Malah, beberapa nama seperti Nik Akif Shahiran Nik Mat, Danial Haqim Draman serta Nik Azli Nik Alias yang masih segar dengan aksi pentas antarabangsa bersama skuad B-23 negara, mampu memberi cabaran sukar kepada Selangor.

"Kelantan mempunyai barisan tengah yang bagus," katanya lagi.