Penyerang muda, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, berasa puas apabila muncul wira membantu Kedah menjulang Piala FA 2019 setelah menewaskan Perak 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-100, pemain tinggi lampai berusia 21 tahun itu menceriakan puluhan ribu penyokong Lang Merah selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-105 untuk menggamatkan suasana stadium yang dihadiri 83,250 penonton itu.

Fadzrul menyifatkan apa yang dilaluinya sebagai mimpi yang menjadi kenyataan apabila dia sebelum ini bertekad untuk mencipta nama sekiranya diturunkan dalam perlawanan akhir saingan berprestij itu.

“Saya bersyukur sangat kemenangan menjadi milik kami (Kedah) dan saya pun tidak sangka dengan apa yang berlaku (menjaringkan gol kemenangan).

"Ini adalah rezeki dan hajat saya tercapai. Memang dari Kedah lagi, saya datang ke Kuala Lumpur dengan menyimpan azam untuk cipta nama pada malam ini.

“Sehingga pada saat saya diarahkan untuk memanaskan badan, saya masih berfikir jika diberikan peluang oleh jurulatih, saya tidak akan sia-siakan peluang untuk cuba mencipta sesuatu,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawananitu.

Aksi final itu menyaksikan pertembungan sengit dua gergasi dari Utara dengan kedua-dua pasukan menampilkan permainan berhati-hati sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan selepas aksi 90 minit masa sebenar berakhir dengan keputusan tanpa jaringan.

Kesempatan Perak yang terpaksa bermain dengan 10 orang selepas pertahanan, Amirul Azhan Aznan, dilayangkan kad merah digunakan sepenuhnya Kedah sebelum Fadzrul meledak gol kemenangan untuk menjulang Kedah merangkul gelaran juara buat kali kelima selepas 1996, 2007, 2008 dan 2017.

Menceritakan detik melangkah masuk ke dalam padang, Fadzrul berkata fokusnya adalah untuk cuba memenuhi arahan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, yang menuntutnya menggunakan kelebihan pada dirinya dalam membantu pasukan meraih kejayaan.

“Perasaan saya gemuruh sebab ini final pertama saya di peringkat tertinggi dan kali pertama juga bermain di hadapan sejumlah penyokong yang besar tetapi saya masih boleh mengawal perasaan itu untuk cuba mengikut arahan jurulatih.

“Beliau (Aidil) mahukan saya mencari ruang dan apabila mendapat bola, bawa ia ke depan. Ketika itu, kami bermain dengan 11 pemain sementara Perak kurang seorang, jadi saya cuba mengambil kesempatan daripada situasi itu untuk cuba menghasilkan sesuatu,” tambahnya.

Sementara itu, penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, menganggap restu ibunya menjadi azimat kejayaan sehingga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Saya selalu menelefon mak untuk mendapatkan semangat, restu dan doanya jadi saya boleh berikan fokus 100 peratus di atas padang," katanya.

Untuk rekod, Kedah muncul juara Piala FA buat kali pertama pada 1996.

Kejayaan malam tadi menyaksikan Kedah menyamai rekod Selangor selaku pemenang terbanyak Piala FA dengan lima kejuaraan, selain membolehkan skuad Lang Merah itu beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.


-- BERNAMA