Jurulatih PDRM FA, E. Elavarasan, akur dengan kegagalan pasukannya mengatasi PKNP FC dalam saingan pusingan ketiga Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.

"Kami tidak cukup bagus untuk menandingi pasukan tuan rumah.

"Mereka lebih baik dan ada kelebihan selaku pasukan Liga Super," katanya.

Menurut jurulatih itu, dia berpuas hati dengan persembahan pemain The Cops yang sudah memberikan yang terbaik.

"Tidak ada apa yang hendak dikesalkan. Kami kena terima realiti ini walaupun ia pahit," katanya lagi.

Elavarasan berkata pasukan Sang Saka Biru itu kini akan menumpukan perhatian terhadap tugasan dalam saingan Liga Perdana selepas perjalanan mereka dalam kejohanan kalah mati itu berakhir.

"Usaha akan dilakukan untuk memperbaiki kedudukan kami dalam liga yang kurang memberangsangkan setakat ini," ujarnya.

PDRM baru mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan lima kekalahan daripada lapan perlawanan untuk menghuni kedudukan tercorot setakat ini.

Pengendali berusia 54 tahun kelahiran Selangor itu diambil bagi membantu PDRM mengelak tersingkir daripada Liga Perdana.