Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mempertahankan tindakannya lambat memasukkan penyerang, Shahrel Fikri Md. Fauzi, yang dilihat sebagai punca skuad The Bos Gaurus menggigit jari di pentas final Piala FA, malam tadi.

"Ia sebahagian daripada taktikal," katanya yang enggan menganggap isu lambat menurunkan Shahrel Fikri sebagai punca Perak gagal mendapat sentuhan sebenar penyerang sejati, terutama dalam tempoh 90 minit permainan.

Bagi Durakovic, dalam waktu tertentu, kelibat pemain berpengalaman dan cergas sepenuhnya lebih penting untuk menggalas cabaran pasukan mengatasi pemain yang sekadar memiliki nama.

"Saya memerlukan pemain berpengalaman untuk perlawanan ini dan terpaksa menggunakan taktikal serta strategi yang tepat selepas beraksi dengan 10 pemain," katanya.

Sementara itu, kapten Perak, Shahrul Saad, mengakui kegagalannya bersama rakan sepasukan yang gagal menterjemahkan situasi sebaik mengetahui ketiadaan bek sasa Kedah, Renan Alves.

"Ketiadaan Alves seharusnya menjadi kelebihan buat kami. Tetapi mereka sangat berdisiplin sepanjang permainan, tidak mengira ketika bertahan atau menyerang.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Kedah kerana muncul juara," katanya.

Tambahnya, kemenangan Lang Merah hanya kerana nasib mereka lebih baik, namun berpendapat Perak lebih berhak untuk menjulang Piala FA 2019.