Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mahu anak buahnya mengulangi 'magis 2017' untuk bangkit menumbangkan Pahang dalam separuh akhir kedua Piala FA di Ipoh malam esok walaupun mereka akan kehilangan empat tonggak utama.

Ketika skuad The Bos Gaurus itu akan kehilangan Ronaldo Henrique di jentera serangan gara-gara penggantungan perlawanan, skuad kendalian Durakovic itu, bagaimanapun, memiliki tonik terbaik untuk menumbangkan Pahang.

Dalam suku akhir kedua Piala Malaysia 2017, Perak bangkit membenam Pahang 4-0 di Ipoh walaupun ketinggalan 1-3 dalam perlawanan pertama.

Ia situasi sama yang dilalui mereka ketika ini selepas tewas 1-3 dalam perlawanan pertama di Kuantan, minggu lalu.

Justeru, Durakovic mahu anak buahnya menjadikan kejayaan lalu itu sebagai suntikan semangat menjelang aksi malam esok.

"Kami sudah beberapa kali membuktikan kebangkitan dalam Piala Malaysia, terutama ketika menentang Pahang pada 2017.

"Insya-Allah, kami akan mengulanginya.

"Dengan sedikit tuah, harap-harap ia akan terjadi lagi," katanya.

Selain Ronaldo, Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Aznan turut tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan.

Pemain tengah, Leandro Dos Santos, pula dilaporkan mengalami masalah keluarga dan perlu pulang ke Brazil.