Durakovic lega dua penyerang cepat serasi 

Oleh Staff Writer 12 Mei 2019 1086
Durakovic lega dua penyerang cepat serasi 
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, lega apabila percaturannya membawa masuk dua import baru memberi kesegaran di bahagian serangan The Bos Gaurus biarpun kedua-dua pemain itu hanya sempat berlatih bersama pasukan selama lima hari.

Durakovic mendapatkan Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Careca sejurus jendela perpindahan kedua dibuka 2 Mei lalu.

Pada awalnya, Durakovic masih belum pasti untuk menurunkan duo dari Brazil berkenaan menjelang perlawanan dengan PKNP memandangkan mereka baru sahaja beberapa hari tiba di Ipoh.

Namun, kepercayaan pengendali kelahiran Australia itu segera dibalas apabila mereka bukan sahaja membantu dalam memberi variasi kepada jentera serangan dalam aksi menentang PKNP FC di Stadium Perak, malam tadi, malah Silva secara peribadi menjaringkan dua gol penting untuk membawa Perak mara ke separuh akhir Piala FA sejak 2016.

"Mereka amat profesional, perjalanan selama dua hari untuk sampai ke sini bukannya mudah.

"Mereka menjalani program pemulihan, mendapat rehat dan sempat berlatih dengan kami selama beberapa hari dan mereka sendiri yang ingin beraksi," katanya. 

Tambah Silva: "Kami tidak pernah berputus asa dan kami berjuang secara sepasukan."

Ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, mengakui terkilan apabila pintu ke separuh akhir hanya dipisahkan 18 minit sahaja selepas anak buahnya mendapatkan gol penyamaan menerusi rembatan kencang Gonzalo Rodrigues.

"Sedangkan nasi di dalam mulut pun boleh jatuh. Tiada rezeki buat kami. 

"Walaupun saya pernah mengemudi Perak dan tanggunjawabnya begitu besar.

"PKNP cuba menyaingi mereka," kata Abu Bakar.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen