Durakovic idam gelaran kedua

Oleh Azizan Hashim 20 Jun 2019 1469
Durakovic idam gelaran kedua
Selepas menjulang Piala Malaysia 2018, pengendali Perak, Mehmet Durakovic, berharap mampu memberi satu lagi kejuaraan kepada The Bos Gaurus.

Peluang jurulatih itu kini berada di depan mata apabila Perak layak ke separuh akhir Piala FA yang akan berlangsung Sabtu ini.

Perak akan mencabar juara bertahan, Pahang, dalam separuh akhir pertama di Kuantan, diikuti perlawanan kedua di Ipoh pada 29 Jun ini.

"Jika dapat mara ke final dan menjuarai Piala FA, ia akan menjadi satu lagi mercu kejayaan Perak selepas memenangi Piala Malaysia untuk menamatkan kemarau 18 tahun," katanya.

Justeru, Durakovic menumpukan sepenuh perhatian terhadap dua pertembungan dengan Tok Gajah itu kerana menyifatkannya sebagai misi penting.

Namun, dia sedar anak buahnya berdepan tugas berat kerana Pahang juga akan turun dengan azam dan tekad untuk mempertahankan kejuaraan.

"Perlawanan ini pastinya  tidak mudah. Pahang adalah sebuah pasukan yang bagus. Mereka mempunyai pemain import dan tempatan berwibawa. Jadi, pemain Perak perlu tumpu sepenuh perhatian terhadap tugasan ini."
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen