Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, menyifatkan tumpas dengan jaringan saat-saat akhir kepada Pahang di Kuantan kelmarin cukup pedih bagai dihiris sembilu.

Lebih mengewakan, Perak bermain baik, terutama dalam separuh masa kedua, dan berjaya merapatkan jurang.

"Cukup perit untuk ditelan tetapi kena mamah dan telan jugalah walaupun pahit," katanya.

"Malah, pemain Perak perlu segera lupakan apa yang berlaku di Kuantan dan fokus kepada tugasan."

Perak tumpas 3-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur itu, sekali gus menyulitkan peluang ke final.

Namun, pengendali dari Australia itu tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana itu bukan caranya.

Dia juga berkata apa yang perlu ialah pemain membina keyakinan diri serta berusaha membantu rakan yang hilang keyakinan.

"Kami satu keluarga. Susah senang dihadapi bersama. Kami kena bersatu," tambah Durakovic.

"Menuding jari pada seseorang tidak akan menyelesaikan masalah."

Dalam masa sama, Perak membawa misi besar apabila turun bertemu Felda United dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.

"Misi ini juga cukup penting. Pemain Perak perlu segera lupakan apa yang berlaku dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan."