Kejuaraan Piala FA sudah dirangkul tetapi kejayaan itu mungkin lebih bermakna buat jurulatih Pahang, Dollah Salleh, jika pasukannya dapat menyertai bahang saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Pahang menebus kekecewaan musim lalu apabila mengesahkan kejuaraan Piala FA buat kali ketiga setelah membenam cabaran Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Secara peribadi, Dollah berminat jika pasukannya diberi slot play-off ACL musim depan walaupun sedar Pahang telah dikenakan penggantungan dua tahun oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ekoran keengganan mendaftarkan diri dalam saingan Piala AFC, musim ini.

Kini, dia menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Dalam masa sama, ketua pasukan Pahang, Matthew Davies, teruja kerana penderitaan musim lalu buat dirinya yang tewas di dua pentas final, termasuk dalam Sukan SEA 2017, akhirnya terubat.

"Secara peribadi, memang saya mahukannya kerana dalam skuad Pahang, kami memiliki ramai pemain berkualiti seperti Sumareh, Davies, Nor Azam Azih dan banyak lagi. Jadi, ia tampak akan menjadi satu kerugian.

"Bagaimanapun, kami akur dengan keputusan FAM," kata Dollah.

"Kami tewas dalam saingan Piala FA tahun lalu, begitu juga dengan kekalahan yang saya alami ketika final Sukan SEA, jadi saya tidak mahu menanggungnya buat kali ketiga.

"Kami bekerja keras dan layak bergelar juara. Saya gembira untuk memberikannya buat peminat-peminat," tambah Davies.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Mohd Nasir, mempertahankan kesebelasan utama pilihannya setelah membariskan ramai pemain muda walaupun tidak menafikan hakikat pengalaman menjadi pemisah buat skuad Gergasi Merah itu.

"Pahang mengambil kesempatan di atas kekurangan pengalaman kami. Mereka dibarisi pemain-pemain yang sudah terbiasa dengan aksi penting sebegini.

"Ia juga memberikan satu pengalaman baru buat saya. Aksi dalam final tahun ini dijangka mampu menjadikan barisan pemain muda Selangor lebih matang," ujar Nazliazmi.