Pengendali Pahang, Dollah Salleh, yakin kekalahan 1-2 kepada Terengganu dalam aksi suku akhir pertama Piala FA malam tadi belum menutup peluang kemaraan mereka.

Berpuas hati dengan corak permainan skuad bimbingannya, Dollah berkata Pahang berjaya bangkit selepas dihukum kesilapan mudah yang membawa kepada dua gol Terengganu.

Lebih meyakinkan bekas jurulatih kebangsaan itu adalah bekalan satu gol di tempat lawan serta aksi terbaik ditunjukkan Pahang sejak tiga perlawanan lalu.

"Dah lama kami tak tunjuk corak permainan seperti ini, sebaliknya keputusan tidak berpihak kepada Pahang.

"Dengan kedudukan agregat ini, saya percaya pastinya pemain-pemain akan memberikan lebih daripada 100 peratus minggu depan," jelas Dollah.

Dalam aksi di Kuala Terengganu itu, Pahang tenggelam dengan jaringan awal pemain Terengganu, Abdul Malik Mat Ariff, pada minit kesembilan untuk memecahkan kebuntuan.

Kipre Tchetche kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-27 sebelum Ze Eduardo menjaringkan gol berharga Pahang menerusi tandukan kemas pada minit ke-58.

Jaringan Eduardo itu, bagaimanapun, belum dapat memikat hati Dollah yang menyifatkan pemain Brazil itu sebagai beraksi di bawah tahap sebenar serta tidak menepati statusnya selaku penyerang elit.

"Ketiadaan (Dickson) Nwakaeme menyebabkan jentera serangan Pahang ketiadaan naluri pemusnah.

"Saya mahukan lebih lagi daripada dia (Eduardo). Walaupun menjaringkan gol, saya beritahu dia perlu tambahkan usaha," tambah Dollah lagi.