Meskipun diuji dengan krisis kecederaan beberapa tonggak utama, jurulatih Pahang, Dollah Salleh, tetap bertekad untuk menjulang skuad Tok Gajah dengan gelaran Piala FA musim ini bagi mengubati kekecewaan tewas dalam final tahun lalu.

Namun, hakikatnya Dollah masih 'tidak senang duduk' memikirkan nasib pasukannya, terutama untuk menghadapi aksi separuh akhir Piala FA bertemu PKNP FC di Stadium Darulmakmur, 23 Jun ini.

Ia susulan beberapa pemain utama dilanda kecederaan, antaranya dua penyerang import, Austin Amutu dan Patrick Cruz.

"Dengan kecederaan dan penggantungan perlawanan, ia melibatkan tujuh pemain tonggak.

"Ia nyata memberi sedikit masalah dalam pasukan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, hari ini.

Apa pun, Piala FA menjadi peluang terbaik buat Dollah mendakap piala musim ini selepas hampir pasti gagal dalam persaingan merebut kejuaraan Liga Super.

Tahun lalu, Dollah yang membuat penampilan semulanya bersama Pahang dinafikan kejuaraan itu selepas tewas 2-3 kepada Kedah dalam final.

"Memang kami mengidam Piala FA. Ia boleh mengubat sedikit kekecewaan dalam liga. Saya percaya pemain-pemain mengharapkan kejuaraan itu," katanya lagi.