Kehadiran semula Brendan Gan dan Shahrel Fikri Md Fauzi daripada kecederaan mungkin menjadi penyelesaian kepada ketumpulan jentera serangan yang menghantui Perak setakat ini.

Ketua jurulatih skuad The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, berkata dua pemain itu sudah menyertai pasukan dan boleh beraksi dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA bertemu Negeri Sembilan di Stadium Perak, malam esok.

"Kehadiran Brendan dan Shahrel akan menambah pilihan saya dalam usaha mempertajamkan jentera serangan.

"Gilmar (da Silva) belum menemui sentuhannya setakat ini. Keadaan ini memang membimbangkan kami.

"Entah apa gerangan yang menimpanya. Nyata nasib belum menyebelahi pemain itu," kata Durakovic.

Jurulatih dari Australia itu sedar tiada apa yang mampu dilakukan kecuali bersabar dan berdoa agar gejala yang menimpa pasukan segera berlalu.

Begitupun, beliau juga tahu ketumpulan jentera serangan pasukan itu mungkin membawa padah apabila turun dalam kejohanan kalah mati itu malam esok.

"Suka atau tidak ,penyerang Perak, terutama Gilmar, kena sumbatkan bola ke dalam gawang.

"Tidak ada makna menguasai perlawanan serta mencipta peluang jika tidak boleh disudahkan kerana bola sepak ialah mengenai menjaringkan gol.

"Jika tidak boleh jaringkan gol, maka kami tidak boleh memenangi perlawanan," katanya.

Selain dua pemain itu, Perak juga mendapat kembali khidmat bek kanan, Amirul Azhan Aznan, selepas pulih daripada kecederaan.